Moto

"Buku Memperkaya Minda"

Visi

Pemangkin bagi pembangunan dan kemajuan industri perbukuan negara.

Misi

Memperkasakan industri perbukuan serta mengembangkan budaya membaca rakyat Malaysia melalui kolaborasi dengan penggiat dan pengusaha buku selaras dengan Dasar Buku Negara (DBN).

Latar Belakang MBKM

Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) ditubuhkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (kini Kementerian Pendidikan Malaysia) pada tahun 1968 berdasarkan kepada perakuan UNESCO yang menyarankan penubuhan sebuah badan khas yang bertanggungjawab untuk mengembangkan minat membaca dan memajukan perusahaan buku dalam kalangan negara-negara membangun. Penubuhan MBKM yang pada awalnya dikenali sebagai Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan (MKBK) adalah berperanan sebagai sebuah badan profesional dan penasihat buku di peringkat kebangsaan.

Ahli-ahli Majlis dianggotai oleh wakil-wakil daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan, persatuan-persatuan industri dan badan-badan bukan kerajaan yang ada hubungan dengan perusahaan dan kemajuan buku serta tiga orang ahli individu yang berkebolehan untuk memberi sumbangan terhadap peranan dan fungsi Majlis Buku Kebangsaan Malaysia. Dasar Buku Negara (DBN) adalah dasar yang dijadikan panduan dan hala tuju oleh MBKM untuk mengembangkan kegiatannya dalam bidang perbukuan dan pembacaan di negara ini.

Sebelum menerima perjawatan yang hakiki, Urus Setia Tetap MBKM hanya wujud sebagai sebuah Unit di Kementerian Pelajaran Malaysia dengan pegawainya dipinjamkan secara pentadbiran dari bahagian-bahagian lain. Melalui Waran Perjawatan yang bertarikh 31 Disember 2005, Urus Setia Tetap MBKM kini beroperasi sebagai salah sebuah bahagian di bawah Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia dengan diketuai oleh seorang Pengarah. Bahagian ini berperanan untuk mengurus pentadbiran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia serta menyelaras segala program kerjasama yang berkaitan dengan pembangunan industri buku dan pengembangan budaya membaca, sama ada dengan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, dan pihak swasta di negara ini. Selain daripada itu, MBKM juga berusaha mempromosikan buku-buku Malaysia bersama-sama penerbit dan pengusaha industri buku tempatan di peringkat antarabangsa melalui penyertaan Malaysia dalam pesta-pesta buku di luar negara.