Moto

"Buku Memperkaya Minda"

Visi

Pemangkin bagi pembangunan dan kemajuan industri perbukuan negara.

Misi

Memperkasakan industri perbukuan serta mengembangkan budaya membaca rakyat Malaysia melalui kolaborasi dengan penggiat dan pengusaha buku selaras dengan Dasar Buku Negara (DBN).

Dari Meja Pengarah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda yang sudi melayari laman web Majlis Buku Kebangsaan Malaysia. Semoga laman web ini berupaya memberikan segala maklumat yang anda perlukan berkaitan dengan peranan dan fungsi Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dalam konteks pembangunan industri buku negara dan pengembangan budaya membaca dalam kalangan rakyat di Malaysia.

Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) telah ditubuhkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (kini Kementerian Pendidikan Malaysia) pada tahun 1968 berdasarkan kepada perakuan UNESCO yang menyarankan penubuhan sebuah badan khas yang bertanggungjawab untuk mengembangkan minat membaca dan memajukan perusahaan buku dalam kalangan negara-negara membangun. Penubuhan MBKM yang pada awalnya dikenali sebagai Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan (MKBK) adalah berperanan sebagai sebuah badan profesional dan penasihat buku di peringkat kebangsaan. Ahli-ahli Majlis terdiri daripada wakil-wakil daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan, persatuan-persatuan industri buku dan badan-badan bukan kerajaan yang ada hubungan dengan perusahaan dan kemajuan buku serta individu yang dianggap mempunyai kebolehan tertentu untuk menjaga kepentingan Majlis dan membantu untuk mencapai objektifnya.

Saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana usaha Urusetia Tetap MBKM untuk membangunkan laman webnya sendiri akhirnya berjaya jua dihasilkan. Tahniah, saya ucapkan kepada semua ahli pasukan yang terlibat membangunkan laman web ini. Mudah-mudahan ia dapat memenuhi cita rasa pengunjung yang meminati industri dan dunia perbukuan. Namun demikian, jika anda berpandangan bahawa kualiti laman web ini perlu dipertingkatkan, saya amat mengalu-alukan cadangan dan pandangan positif anda untuk terus memantapkan kandungan laman web MBKM.

“Buku Memperkaya Minda”

Salam hormat,

ABD. WAHAB BIN IBRAHIM
Pengarah
Urusetia Tetap
Majlis Buku Kebangsaan Malaysia