Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 (PBAKL 2011) dianjurkan oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama persatuan-persatuan dan majlis industri buku yang utama di negara ini, iaitu :

  1. Persatuan Pengeksport dan Pengimport Buku Malaysia (MBEIA)
  2. Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA)
  3. Persatuan Kontraktor Buku Malaysia (PKBM)
  4. Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA)
  5. Persatuan Penerbit dan pengedar Buku Bumiputera Malaysia (PPPBBM)
  6. Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM).

PBAKL 2011 adalah merupakan satu acara tahunan yang dianjurkan bagi membolehkan kalangan penerbit dan pengusaha buku tempatan dan luar negara mempromosikan judul-judul dan koleksi terbitan mereka kepada para pengunjung. Pesta buku antarabangsa kali ke-30 ini telah diiktiraf sebagai pesta buku terbesar di Negara ini dan antara yang terunggul di rantau ASEAN.

Majlis Pra-pelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 (PBAKL 2011) telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia; Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom, mewakili Yang Berhormat Dr. Haji Mohd. Puad bin Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia pada 26 Oktober 2010, jam 3:00 petang di Hotel Grand Seasons Kuala Lumpur. Ia diadakan sebagai usaha awal yang dirancang oleh Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2011 untuk mempromosikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 yang bakal berlangsung pada 22 April sehingga 1 Mei 2011 di Pusat Dagangan Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Langkah awal ini bukan sahaja bertujuan untuk memasarkan PBAKL 2011 kepada syarikat-syarikat penerbitan dari dalam dan luar Negara untuk menyertai PBAKL 2011 tetapi juga untuk makluman umum.

Kejayaan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur Kali Ke-29 Tahun 2010

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur kali ke-29 (PBAKL 2010) yang diadakan pada 19 hingga 28 Mac 2010 yang lepas telah beroleh kejayaan yang sangat membanggakan. Selain penyertaan terbesar dalam sejarah penganjurannya, iaitu sebanyak 855 sehingga mendapat pengiktirafan ”Malaysia Book of Records” sebagai Pesta Buku Antarabangsa terbesar di Malaysia, malah jumlah pengunjung ke pesta buku tersebut juga telah mencapai angka 1.5 juta orang sepanjang 10 hari pesta buku tersebut berlangsung. Bilangan pengunjung yang begitu signifikan menunjukkan bahawa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur telah berjaya menarik perhatian umum hingga bukan sahaja ia dikunjungi oleh rakyat tempatan dari seluruh Negara, bahkan pelawat-pelawat dari negara-negara jiran juga berpeluang mengunjungi PBAKL 2010.

Bilangan syarikat dan agensi kerajaan dari dalam dan luar negara pada PBAKL 2010 juga turut bertambah. Misalnya, 140 buah syarikat dan 40 buah agensi kerajaan dari negara ini telah mengambil bahagian pada pesta buku yang lepas, manakala 37 buah syarikat dan 3 buah agensi kerajaan luar Negara turut mengambil bahagian. Penyertaan luar negara yang diterima sebagai pempamer pada PBAKL 2010 adalah terdiri daripada syarikat, penerbit dan agensi kerajaan dari Singapura, Brunei, Indonesia, Thailand, Filipina, India, Turki, Mesir, Australia dan United Kingdom.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur Kali Ke-30 Tahun 2011

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 (PBAKL 2011) akan berlangsung selama 10 hari, iaitu mulai 22 April hingga 1 Mei 2011 di lima (5) ruang pameran Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Ruang-ruang pameran yang dijangka dapat menampung sebanyak 750 buah tapak gerai akan terletak di Legar Putra, Dewan Tun Hussein Onn, Dewan Tun Dr Ismail, Dewan Tun Razak 3 dan Dewan Tun Razak 4. Pameran akan mula dibuka kepada orang awam mulai jam 10:00 pagi hingga 9:00 malam.

Para penerbit dan syarikat pengusaha buku tempatan dan luar negara dipelawa untuk menyertai PBAKL 2011 sebagai pempamer atau pengunjung perdagangan (trade visitor).

Selain pameran buku-buku terbaru di pasaran serta jualan buku dengan tawaran harga yang menarik, berbagai-bagai aktiviti dan program turut diadakan semasa PBAKL 2011, selain aktiviti harian untuk pengunjung. Antaranya ialah pelancaran buku oleh penerbit dan agensi kerajaan, bicara dan ulasan buku oleh pengarang buku terkenal dari dalam dan luar negara, ceramah mengenai penerbitan dan pemasaran buku, bengkel penulisan, dan sesi bersama penulis.

Bagi mempertingkatkan komponen perdagangan hak cipta dan lesen perbukuan dalam industri buku tempatan, pihak penganjur PBAKL 2011 juga akan menyediakan Pusat Perdagangan dan Hak Cipta untuk menggalakkan pengarang, penerbit dan agen hak cipta dari dalam dan luar negara untuk menjalankan urus niaga hak cipta. Pihak penganjur juga bercadang untuk membawa agen-agen dari Asia Tenggara dan Benua Eropah, dalam hal urusan perdagangan hak cipta dan lesen perbukuan bagi manfaat penggiat industri buku tempatan.

Tema atau slogan yang dipilih bagi tahun 2011 ialah “Buku: Dunia Tanpa Sempadan” (“Books: World Without Borders”). Tema ini adalah satu langkah membudayakan tabiat membaca dalam kalangan masyarakat, khusus generasi muda untuk mewujudkan generasi modal insan yang berilmu pengetahuan dan berketerampilan serta mempunyai jati diri yang unggul dalam menghadapi persaingan global. Penganjuran pesta buku ini secara tahunan adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Pelajaran melalui Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama pihak industri buku tempatan untuk menggalakkan seluruh lapisan masyarakat menggemari buku dan menanam minat membaca dalam kalangan rakyat di negara ini. Dengan sokongan masyarakat pembaca, industri buku tempatan juga diharap dapat berkembang maju selaras dengan perkembangan ekonomi negara.

Justeru, Jawatankuasa Penganjur PBAKL 2011 mengharapkan sokongan semua pihak, termasuk rakan-rakan dari media massa untuk membantu mempromosikan dan memberikan publisiti yang meluas acara Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur Kali Ke-30 pada tahun 2011. Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan kepada pihak-pihak yang berikut:

1. Dr A ‘Azmi Shahri
Pengarah Urus Setia Tetap MBKM
Merangkap Pengerusi JK Penganjur PBAKL 2011
Tel : 019-678 1505
E-mel : azmishah@moe.gov.my

2. Encik Ahmad Fadli b Abd Aziz
Pengarah Projek PBAKL 2011
Tel : 017-301 1172
E-mel : fadli.aziz@moe.gov.my

3. Encik Amran Alias
OBL Sdn. Bhd.
Pengurus Acara PBAKL 2011
Tel : 019-216 2806
E-mel : amranalias@obl.com.my

4. Urus Setia Tetap
Majlis Buku Kebangsaan Malaysia
Tel : 03-8321 7011
Faks : 03-8321 7012
E-mel : mbkm@moe.gov.my

 

Sekretariat
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011
26 Oktober 2010