Program Sumbangan Buku & Pengembangan Budaya Membaca

Urus Setia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) telah melebarkan sayap dan fungsinya ke peringkat akar umbi di mana berlangsungnya Program Sumbangan Buku dan Pengembangan Budaya Membaca ke empat (4) buah daerah iaitu Sibu , Sandakan, Kemaman dan Mersing. Program in adalah kelansungan daripada pelancaran Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang telah dilancarkan oleh Tan Sri Hj. Alimuddin b. Mohd. Dom , Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di PWTC Kuala Lumpur pada 23 April 2009.

Secara umumnya, program ini bukanlah satu program sumbangan buku semata-mata tetapi MBKM telah mengorak langkah menjalankan beberapa akriviti untuk guru dan murid dengan kolaborasi bersama penerbit. Perkongsian pintar ini amat bermakna dan berkesan kerana bagi pihak penerbit , mereka telah menyumbangkan buku dan juga menyumbangkan ilmu dan pengetahuan mengenai cara membaca cepat dan menjadi penulis best seller. PTS Distributors Sdn. Bhd dan Al Ameen Serve telah menjelajah bersama MBKM ke setiap daerah. Begitu juga seorang penceramah terkenal dan juga pengacara RTM , saudara Uthaya Sankar Sb telah menyumbangkan ilmu beliau kepada murid-murid di sepanjang program berlangsung atas nama “Jom Bergaya dengan Membaca”.

Keseluruhan penglibatan dalam kalangan murid bagi kesemua daerah adalah seramai 330 orang dan 120 orang guru telah mendapat manfaat daripada penganjuran program ini. Guru-guru dan murid datang dari seluruh ceruk kampung, pulau dan daerah luar bandar seronok menginap di hotel dan menikmati kemudahn yang disediakan. Terpancar di wajah mereka kepuasan tidak terhngga sehingga ada yang berlari-lari keseronokan, begitu juga dengan golongan pendidik, mereka tidak hanya menjadi guru pengiring tetapi mereka juga mendapat pendedahan untuk menjadi penulis best seller, mana tahu satu hari nanti akan lahir penulis tersohor dari daerah yang jauh dari bandar dan kemudahan akses kepada penerbit yang sangat terhad.

Sumbangan besar penerbit terutama dari Asia Foundation memang tidak dapat di balas hanya dengan kata-kata. Asia Foundation sendiri telah menyumbangkan lebih kurang RM 50,000.00 kepada sekolah menengah dan rendah yang terlibat. Manakala sumbangan penerbit yang tidak dapat disenaraikan satu persatu menjangkau angka RM 20,000 dan keseluruhannya sebanyak RM 70,000 nilai sumbangan buku telah diagihkan kepada semua sekolah yang teribat.

Dalam ucapan aluan semasa perasmian penutup Program Sumbangan Buku dan Pengembangan Budaya Membaca di Sibu pada 2 Oktober 2009, Pengarah MBKM, Encik Abd Halim bin Ismail telah menyebut: “Orang memberi, kita membaca”. Kata-kata ini amat bermakna kerana , sumbangan buku ini bukan hanya setakat sumbangan tetapi sekolah perlulah mengambil inisiatif mengalakkan pelajar mengguna begitu juga dengan guru. Manakala Y. Bhg. Dr Haili bin Dolhan, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dalam ucapan perasmian penutupan menyatakan: “Membaca dapat menambah nilai berfikir”. Ini amat bertetapan sekali dengan slogan MBKM iaitu Buku Memperkaya Minda. Jadi dengan adanya buku-buku yang pelbagai kategori, pelajar akan mendapat pendedahan pengetahuan, pengalaman dan budaya yang pelbagai didunia dan tidak terhad kepada buku akademik semata-mata. Semoga program ini akan berterusan ke sekolah sekolah di daerah lain di Malaysia pada tahun hadapan pula.