Program Sumbangan Buku dan Pengembangan Budaya Membaca SKPP18(1)

Sekali lagi Urus Setia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia atau dikenali dengan MBKM mengorak langkah mengembangkan budaya membaca dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah dengan memberi sumbangan buku kepada Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan Putrayajaya Presint 18(1) dan mengadakan aktiviti berbentuk kuiz kepada murid-murid yang berada di sekitar sekolah berkenaan. Setinggi penghargaan juga kepada AJK PIBG SKPP 18(1) kerana berjaya melaksanakan aktiviti berbentuk pemuafakatan dalam kalangan agensi kerajaan dan swasta demi pembangunan Pusat Sumber Sekolah SKPP 18(1).

Sumbangan yang menjangkau RM20,000 berbentuk koleksi fiksyen dan bukan fiksyen akan memberi impak yang besar kepada murid-murid sekolah ini yang berjumlah 150 orang murid. Majlis Pelancaran Sekolah Angkat Pusat Sumber Sekolah MBKM telah diadakan pada 13 Ogos 2009 bertempat di SK Putrajaya Presint 18(1).

Tanpa sokongan daripada pihak industri buku, program ini tidak akan berjaya. Ucapan terima kasih tidak terhingga kepada penerbit-penerbit buku seperti Kualiti Books, Gemilang Publication, Future Ace Sdn Bhd, Cerdik Publications, Dawama Sdn Bhd, Arus Mega, Sasbadi Sdn Bhd, PNI Neuron, Kreatif Kembara dan Kumpulan Karangkraf yang sudi menghulur sumbangan kepada SKPP 18(1) di bawah konsep 1 Syarikat 1 Rak.

Dalam ucapan Pengarah MBKM, En. Abd. Halim Ismail menyatakan bahawa ini adalah salah satu aktiviti “outreach” MBKM dalam usaha mengembangkan budaya membaca dan aktiviti ini akan diadakan pada peringkat akar umbi juga iaitu di daerah Sibu, Sandakan, Kemaman dan Mersing bagi tahun 2009. Aktiviti galakan membaca dan pendedahan berkaitan aspek penulisan akan diadakan di daerah-daerah tersebut di samping mini pesta buku yang berfokus kepada msyarakat setempat. Adalah diharapkan dengan aktiviti seperti ini, mereka yang tinggal jauh dari bandar akan juga merasai pelbagai program yang disusun bagi mengembangkan minat membaca.